RUMAH BOT PERMATA BELUM, TASEK TEMENGGOR

, , No Comments

http://wnfasihahjasni.blogspot.com/


Assalamualaikum...

Kalau korng ada baca entry sebelum ni aku ada cerita tentang trip kelas aku ke Tasik Temenggor dan kami tinggal di salah satu rumah bot yang ada di sana. Yang berminat nak baca boleh klik SINI.  So kali ni aku akan cerita siket sebanyak tentang rumah bot ni, kot-kot korang berminat nak pi sana. Kalau korang baca bawah ni nanti ayat ala-ala skema adalah kerana aku copy paste je dari report trip yang aku submit kat lecturer aku tu. hahahahaah 


Rumah Bot Permata Belum / Permata Belum Boat House


Rumah bot adalah salah satu tempat penginapan yang disediakan untuk mereka yang merancang untuk tinggal beberapa hari di Tasik Temenggor. Terdapat 11 rumah bot yang boleh didapati dengan tawaran harga yang berpatutan kepada semua pengunjung. Setiap rumah bot adalah berbeza dari segi saiz dan kemudahan. Pelancong boleh memilih mana-mana rumah bot yang sesuai dengan bajet mereka, saiz keluarga, dan aktiviti-aktiviti yang mereka mahu lakukan. Salah satu rumah bot yang terdapat di sana ialah rumah bot Permata Belum.

Rumah bot Permata Belum dimiliki oleh Encik Zulkarnain Bin Abd Manas yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang pelancongan di Tasek Temenggor. Pengalaman yang tidak ternilai ini telah membekalkan pelbagai kemahiran dan pengetahuan kepada Encik Zul mengenai persekitaran perniagaan dan keadaan pasaran rumah bot di Tasik Temenggor. En Zul yang merupakan seorang nelayan sebelum ini, mendapat inspirasi untuk memulakan perniagaan rumah bot melalui pembangunan yang menggalakkan yang telah ditunjukkan oleh perniagaan rumah bot di Tasik Kenyir. Beliau memulakan perniagaannya dengan bot kecil yang disewa daripada rakan-rakannya yang telah memulakan perniagaan ini terlebih dahulu.


Encik Zulkarnain


Usaha beliau yang tidak berbelah bahagi membuahkan hasil apabila dia mampu untuk membeli empat bot kecil di mana tiga buah bot digunakan untuk aktiviti memancing dan 1 bot untuk aktiviti bersiar-siar dan percutian. Kemudian beliau mula melihat potensi untuk memulakan perniagaan rumah bot dan berjaya untuk mempunyai rumah bot sendiri pada awal tahun 2015. Dengan bantuan pekerja beliau yang mesra, yang juga merupakan adik beradik dan saudara beliau sendiri, Encik.Zul percaya bahawa perniagaan rumah bot ini boleh membantu dalam membangunkan pelancongan di Tasik Temenggor.





Rumah bot Permata Belum boleh memuatkan 25 orang dalam satu masa. Ia mempunyai 4 bilik tidur yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti katil, tilam, bantal, cadar, sarung bantal, selimut dan kipas angin. Pelawat boleh meminta selimut tambahan dan tikar yang tersedia untuk mereka. Terdapat kemudahan untuk menggantung pakaian disediakan di semua bilik tetamu untuk membolehkan para tetamu untuk menyusun pakaian yang kemas dan teratur. Terdapat tingkap di setiap bilik bagi membolehkan aliran udara masuk dan keluar untuk menambah keselesaan kepada tetamu. Terdapat ruang yang mencukupi di dalam bilik tidur, yang membolehkan tetamu beragama Islam menunaikan solat dengan selesa. 




Terdapat dua bilik mandi yang bersih dan kemas, yang juga dilengkapi dengan kemudahan asas. Ruang bilik mandi yang mencukupi disediakan untuk membolehkan para tetamu untuk mandi dan membersihkan diri dengan selesa. Dua bilik mandi disediakan supaya tetamu boleh memilih sama ada untuk menggunakan bilik mandi berasingan antara lelaki dan wanita, atau tidak.

Kemudahan dan peralatan memasak yang mencukupi disediakan di kawasan dapur rumah bot untuk memastikan tetamu berasa seperti memasak di rumah mereka sendiri. Kawasan dapur yang besar yang boleh memuatkan ramai orang pada satu-satu masa, membolehkan proses memasak dilakukan dalam masa yang singkat. Peralatan asas seperti tangki gas, dapur, spatula, periuk dan banyak peralatan memasak yang lain disediakan untuk tetamu. Sink juga disediakan untuk membolehkan proses pembersihan dilakukan sebelum, semasa dan selepas memasak. Terdapat rak di sebelah sinki yang dipenuhi dengan peralatan untuk makan seperti pinggan, gelas, cawan, mangkuk dan sebagainya. Proses pnyediaan sebelum masak boleh dilakukan dengan mudah kerana terdapat sebuah meja panjang yang disediakan di dapur di mana meja tersebut juga boleh digunakan untuk meletakkan barang-barang makanan lain yang dibawa oleh para tetamu. Walau bagaimanapun, pengunjung perlu membawa bahan mentah mereka sendiri untuk memasak dan ada ruang yang cukup disediakan untuk menyimpan bahan mentah di dapur. 








Rumah bot Permata Belum juga mempunyai ruang tamu atau ia boleh dipanggil kawasan rehat dan rekreasi. Pelbagai aktiviti dalaman yang boleh dilakukan di kawasan ini kerana ia mempunyai ruang yang besar. Aktiviti-aktiviti seperti perbincangan kumpulan, memancing dan BBQ, boleh dilakukan di kawasan ini. Di sini juga kebanyakan tetamu akan makan sambil menikmati keindahan pemandangan tasik. Pemilik rumah bot ini menyediakan TV di kawasan ini yang boleh digunakan oleh tetamu pada bila-bila.





Bekalan air dan elektrik rumah bot diperoleh dan diedarkan dengan cara yang sangat sistematik untuk menyediakan kemudahan yang mencukupi kepada para tetamu. Tanggungjawab untuk menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk digunakan semasa mandi, memasak dan minum adalah menjadi keutamaan bagi pemilik rumah bot ini. Bekalan air diperolehi dari tasik akan diproses sebelum disalurkan ke dalam rumah bot untuk digunakan oleh tetamu. Ini adalah untuk memastikan bekalan air adalah selamat untuk digunakan. Air itu akan melalui proses penapisan sekali lagi untuk air yang digunakan untuk minum dan memasak dan diedarkan terus ke sinki dapur.

Bekalan elektrik pula diperoleh melalui jenerator yang disediakan oleh pemilik rumah bot. Jenerator ini membekalkan bekalan elektrik yang secukupnya untuk digunakan oleh semua tetamu sepanjang mereka berada di sini. Peralatan memasak yang menggunakan elektrik boleh digunakan dengan mudah dan membantu melancarkan proses memasak. Peralatan eletronik seperti seterika, camera dan telefon boleh dicaj tanpa ada halangan.

Keselamatan adalah elemen yang paling penting untuk dipertimbangkan dalam mana-mana perniagaan yang melibatkan manusia. Pemilik bot telah menyediakan dan mengamalkan langkah berjaga-jaga yang terbaik untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Jaket keselamatan boleh didapati dalam jumlah yang mencukupi yang akan digunakan dalam setiap aktiviti yang melibatkan air. 





Sekian...

Juga boleh di baca dalam bahasa inggeris di SINI.

haaaa ko hadooo ?? keekeeeke

ok... hahaha skema kan ayat. oflos la, ni report nak kene hantar bagi lecturer baca..
takkan aku nak tulis camni.. <------- camni. heheh

so kalau korang berminat nak stay kat rumah bot ni, boleh contact abang zul : 019-4083043









0 comments:

Post a Comment

Tak ada halangan untuk komentar dan pendapat. Silakan......